Berita
mengenai Malaysia mengekalkan kedudukan teratas bagi tahun ketiga
berturut-turut dalam Laporan Daya Saing Bank Dunia dari segi akses pembiayaan
untuk sektor industri kecil dan sederhana (IKS) amat membanggakan.
Tan Sri
Muhyiddin Yassin mengumumkan penarafan terbaru Bank Dunia itu selepas
menamatkan hari pertama Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia.
Fakta ini secara tidak langsung menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa
pengusaha IKS di Malaysia sukar mendapatkan pembiayaan pinjaman untuk memajukan
perniagaan mereka. Sebagaimana kata Muhyiddin, mungkin ada yang tidak berpuas
hati tetapi hakikatnya berdasarkan laporan Bank Dunia itu, di dunia ini
Malaysia adalah negara yang paling mudah bagi IKS mendapatkan pembiayaan.
Kedudukan
pertama itu hasil dasar dan dana besar yang disediakan kerajaan untuk sektor
IKS serta pembiayaan yang ditawarkan bank tempatan. Sejak dahulu lagi Kerajaan
Malaysia sentiasa memberikan perhatian kepada sektor itu kerana menyedari
kepentingannya dalam menjana pertumbuhan dan kegiatan ekonomi negara. Selain
penyediaan dana untuk memajukan IKS, usaha kerajaan dapat dilihat melalui
penubuhan Majlis Pembangunan IKS Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pembentukan SME Corp. SME Corp. yang
bertanggungjawab meluluskan peruntukan geran yang disediakan di bawah lapan
kementerian dan 60 agensi yang terlibat dengan IKS sebenarnya adalah antara
usaha penting kerajaan membantu para usahawan.
Berdasarkan
pengalaman, kemelesetan ekonomi dan krisis kewangan global memang mencabar
kewangan pengusaha IKS. Ramai yang 'bungkus' dan ada yang terus bertahan.
Tetapi Malaysia cepat pulih daripada krisis ekonomi itu kerana kerajaan kita
mempunyai strategi untuk menangani kemelut itu. Atas sokongan kerajaan kepada
IKS yang turut mendapat bantuan pembiayaan daripada bank-bank, maka kita
berjaya keluar daripada krisis ekonomi dunia beberapa kali. Walaupun sesetengah
pengusaha IKS merungut mengenai syarat-syarat ketat bank-bank komersial dalam
meluluskan pinjaman, tetapi semua itu sebenarnya diwujudkan untuk menghadapi
pihak-pihak yang hanya mencari kesempatan atas skim yang disediakan oleh
kerajaan untuk membantu usahawan tulen. Kita faham apabila syarat kelulusan
pinjaman diperketatkan, maka yang susah adalah majoriti peniaga yang ikhlas
dalam usaha mencari nafkah melalui perniagaan.
Pun
begitu Malaysia tidak boleh leka dengan kedudukan itu semata-mata. Kita perlu
mengenal pasti masalah, peluang serta cadangan bagi tujuan perancangan strategi
ke arah mewujudkan golongan usahawan IKS yang lebih kreatif dan inovatif. Ini
kerana sektor IKS jika dieksploitasi sepenuhnya ia mampu meningkatkan jumlah
pekerjaan, hasil pengeluaran dan kadar pemilikan harta di kalangan rakyat.
Kerajaan sejak dahulu begitu komited membantu usahawan IKS untuk mengembangkan
perniagaan mereka. Pelbagai insentif penting untuk menggalakkan pertumbuhan IKS
di negara ini diperkenal dan dilaksanakan. Sesungguhnya IKS di Malaysia
beruntung.
Sumber
Utusan
Malaysia
15
November 2010